Fiat Super Mirafiori
FIAT SUPER MIRAFIORI
OLEH : AMRI HAJI YAHYA
HARI ini, seperti semalam aku teruskan langkah-langkah perjalanan hidupku dengan penuh
keyakinan. Aku ikhlas mencari rezeki untuk keluargaku dan aku juga masih mempunyai ibu yang
perlu aku jaga. Tahun ini adalah tahun ke-5 ayahku menghadap Ilahi dan sebagai anak sulung, aku
bertanggungjawab menjaga kebajikan dan urusan hidup ibuku. “ Abah nak kau jaga mak kau baik-
baik.Dia buta huruf dan tak ada pendidikan.Jadi kau jaga mak kau baik-baik,” itulah pesanan arwah
bapaku yang ku pegang hingga kini.
Aku juga telah menjaga arwah bapaku ketika dia sakit selama 5 tahun. Ayahku menghidap
penyakit kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Terakhir kegagalan buah pinggang dan
soal keluar masuk hospital adalah lumrah untuk arwah ayahku. Hospital Besar Melaka, Hospital
Besar Seremban dan Hospital Besar Kuala Lumpur ibarat rumah ke-2 bagi bapaku. Apa yang
menariknya, ketika itu aku sedang berhadapan dengan masalah kewangan kerana penutupan
perniagaanku di Melaka. Aku hanya mampu menggunakan kereta Fiat Super Mirafiori tahun 1970
untuk membawa aruah bapaku ke hospital. Mungkin berkat kasih abah, keretaku itu tidak pernah
membuat penyakit. Hingga kini, sebagai lambang jasa dan pengorbanan , aku tidak menjual kereta
ini walaupun ramai yang memujuk untuk membeli. Terlalu banyak kenangan dan jasa yang telah
dilakukan buat aku dan keluargaku. “ Jual ajelah kereta itu pada kawan saya cikgu. Kawan saya
ingin bawa ke kebun. Senang nak masuk kebun durian,” kata Kakak Siew Moi jiranku.
Aku kini walaupun memiliki 3 buah kereta iaitu Fiat, Proton Waja dan Naza Citra
namun aku lebih seronok membawa Fiatku. Tak tahu kenapa. Ketika aku menjadi guru disiplin
petang, keretaku ini pernah menjadi mangsa tendangan dan contengan pelajar-pelajar yang pernah
ku jatuhi hukuman rotan. Pernah satu petang, ketika hendak balik, dinding kereta fiatku penuh
dengan cop tapak kasut pelajar. Mereka pasti telah menendang-nendang keretaku.Masakan tidak,
penuh dengan cop kasut tapi aku redha. Dan but depan kereta fiatku diconteng perkataan
lucah.Yang membuatnya, pelajar perempuan Cina yang ku tegur kerana berkuku panjang. Dan
belum sempat ku cari, dah bertukar sekolah. Jadi cukup banyak memori bersama fiatku ketika aku
memegang jawatan guru disiplin.
Ada juga pelajar yang menumpang keretaku tapi tidak lama dalam tempoh sebulan sahaja.
Mereka tidak membayar apa-apa tapi rasa berat aje hendak masuk ke dalam keretaku.Rupanya
mereka malu kerana pernah mereka berkata, “ Cikgu tak mahu tukar kereta ke? Buruklah kereta
cikgu ni,” kata Balqis kakak kepada Juara. Aku diam aje. Kalau tidak kerana aku hendak membayar
hutang perniagaanku, dah lama aku berkereta baru. Namun aku perlu bersabar dan aku tetap
bersyukur kerana dengan kereta Fiatku itu, aku dapat ke sekolah, menghantar aruah bapaku menjalani rawatan
homeodialisis di Mahkota Medical Centre, ke pasar, berjalan-jalan malah pergi ke Kuala Lumpur untuk
mesyuarat.
Kini, Fiatku tetap kujaga dengan baik. Tidak ramai yang kulihat menggunakan kereta Fiat lagi dan aku
berbangga memiliki kereta ini.
Comments