BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

20 March 2011

ISU-ISU AKUAKULTUR

UMT bangunkan teknologi pembiakan ketam

oleh LAUPA JUNUS


BIDANG akuakultur boleh dimanfaatkan untuk aktiviti ekonomi khususnya di peringkat huluan. Antaranya, ternakan kerang, udang, ikan, rumpai laut kerang-kerangan dan juga ketam.

Selain rumpai laut yang lokasinya pengkuturannya agak terbatas, ketam antara ternakan yang kurang popular di kalangan pengusaha akuakultur di negara ini.

Tetapi ia sukar untuk dikembangkan kerana salah satu masalahnya ialah untuk mencari kaedah terbaik bagi menjadikan ternakan ketam berdaya maju.

Pensyarah kanan Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mhd. Ikhwanuddin @ Polity Abdullah, antara masalah ternakan ketam ialah sumber benih yang terhad.

“Kajian perlu dilakukan bagaimana memastikan bekalan sentiasa ada pada amaun dan harga yang konsisten,” ujarnya.

Selain itu katanya, belum ada teknik yang sesuai bagi pengeluaran benih ketam secara komersial dan besar-besaran di negara ini.

Meskipun kajian di negara lain seperti Australia, Vietnam dan Filipina menunjukkan kejayaan di pusat-pusat penetasan mereka, tetapi pengeluaran secara komersial masih belum dapat dilakukan lagi.

Sedangkan katanya, ternakan ketam berpotensi untuk dimajukan kerana mudah untuk membina kemudahan, mempunyai pasaran yang luas, harga yang tinggi iaitu tidak kurang RM20 sekilogram, tempoh matang yang singkat dan tahan lama untuk penyimpanan.

Justeru, Akuatrop telah memulakan penyelidikan membangunkan kaedah meningkatkan pengeluaran benih ketam.

Projek yang dimulakan sejak awal 2008 dengan pembiayaan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) UMT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysia (MOSTI) juga bertujuan untuk memastikan industri ternakan ketam berdaya saing.

Penyelidikan tersebut melibatkan spesies ketam bakau atau ketam nipah dan juga ketam suri yang juga disebut ketam renjong atau nama sainsnya Portunus pelagicus.

Kesemua empat spesies ketam bakau yang biasa ditemui di negara ini digunakan dalam penyelidikan tersebut.

Spesies-spesies ketam bakau tersebut ialah Scylla serrata, Scylla olivacea, Scylla paramamosian dan Scylla tranquebarica.

Projek penyelidikan tersebut juga melibatkan aspek pembiakan biologi, pengeluaran benih dan pembangunan teknik pembesaran.

Dalam kajian pengeluaran benih ketam, beliau berkata, sebanyak 200,000 benih ketam suri dan antara 50,000-100,000 benih ketam bakau boleh dihasilkan daripada penetasan setiap ekor induk ketam.

Benih ketam sama ada ketam suri ataupun ketam bakau yang baru menetas diternak dengan memberi makanan hidup seni seperti rotifer, artemia dan fitoplankton.

Selain itu, kawalan kualiti air dilakukan semasa ternakan benih ketam dengan memastikan parameter air ditetapkan pada saliniti 30 ppt, oksigen terlarut lebih 5 ppm, suhu antara 28-30 darjah C dan pH (kemasaman) antara 6.5-7.5.

Kajian ternakan benih ketam tersebut menunjukkan bahawa benih ketam akan diternak hingga mencapai berat 50 gram seekor sebelum benih ketam tersebut digunakan untuk tumbesaran.

Kajian juga menunjukkan bahawa benih ketam boleh membesar hingga ke berat pasaran 200 gram seekor selepas diternak antara lima dan enam bulan.

Bagaimanapun, teknik terbaru untuk mempercepatkan tumbesaran ketam ialah dengan merangsangkan ketam untuk cepat bersalin kulit.

Menurut Mhd. Ikhwanuddin, teknik merangsang ketam bersalin kulit memerlukan masa ternakan antara tiga dan empat minggu bagi setiap kali bersalin kulit.

Teknik merangsang ketam bersalin kulit tersebut juga boleh digunakan untuk menghasilkan produk ketam berkulit lembut.

Ia dilakukan dengan mengerat semua kaki dan sepit ketam atau dikenali sebagai teknik 'limb autotomy’.

Dengan kaedah penanggalan semua kaki dan sepit ketam ini, ia akan merangsang proses fisiologi di mana beberapa bahan kimia yang bertanggungjawab untuk merangsang proses bersalin kulit akan dirembeskan bagi mempercepatkan proses itu.

Kebanyakan haiwan krustasea memerlukan proses bersalin kulit bagi pembesaran dan melengkapkan kitar hidupnya. Proses bersalin kulit dari kulit lembut kepada keras memerlukan lebih kurang 24 jam.

Proses bersalin kulit terbahagi kepada empat peringkat iaitu bersalin kulit (ecdysis), sebelum bersalin kulit (pre-ecdysis), selepas bersalin kulit (post-ecdysis) dan antara bersalin kulit (inter-ecdysis).

Proses pre-ecdysis berlaku apabila aspek fisiologi dan morfologi bersedia untuk proses ecdysis.

Semasa peringkat bersalin kulit (ecdysis), kulit asal akan tanggal dan kemudian, bagi peringkat selepas salin kulit (post-ecdysis), rangka luar (exoskeleton) akan menjadi lembut.

Selepas itu, exoskeleton yang masih lembut itu akan berkembang kepada lebih padat untuk menyokong haiwan berkenaan.

Pada peringkat akhir post-ecdysis, ‘exoskeleton akan terbentuk secara sempurna dan tisu di bawahnya mula bertambah.

Kajian lanjut yang berkaitan dengan teknik merangsang ketam bersalin kulit di UMT juga meliputi lima bidang utama lain iaitu:

(i) makanan dan pemakanan

(ii) parameter fizikal air

(iii) penyediaan substrat

(iv) kebersihan dan kuarantin

(v) sistem pemeliharaan

0 comments: