KUALA LUMPUR: “Tiada dasar yang boleh melarang mereka berkahwin, tapi jika dia didapati mengandung, maka dinasihatkan supaya berhenti sekolah,” ulas Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai pelajar bawah umur 17 tahun yang bertunang dan berkahwin pada usia muda. Menurutnya, jika keluarga pelajar terbabit sama ada lelaki mahupun perempuan memberi persetujuan dan restu mereka untuk berkahwin, malah turut disokong kebenaran mahkamah, tiada sebab kementerian perlu melarang apatah lagi tiada perundangan membolehkan berbuat demikian. Katanya, beliau juga turut yakin isu berkahwin pada usia masih mentah dan berada di alam persekolahan tidak akan memberi kesan buruk kepada pelajar di seluruh negara ataupun mempengaruhi mereka, memandangkan jumlahnya tidak begitu ketara. “Perkara ini (berkahwin muda) terpulang kepada kebenaran keluarga mahkamah dan persetujuan ibu bapa. Jika peroleh kedua-duanya kementerian tidak boleh berbuat apa-apa termasuk men...