MEMORANDUM UNTUK ETJ GPKT6.
MEMORANDUM
Kepada: YAB TAN
SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN
YASSIN, TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI.
Daripada :
MAJLIS PERHUBUNGAN GURU-GURU PENOLONG KANAN PRA UNIVERSITI DAERAH MUAR LEDANG.
Tajuk : ELAUN TANGGUNGJAWAB
KEPADA PENOLONG KANAN PRA UNIVERSITI
1.0 Pendahuluan
Tranformasi Tingkatan Enam telah
membawa kepada terlaksananya beberapa anjakan paradigm. Sistem Terminal yang
selama ini digunapakai telah digantikan dengan Sistem Modular yang mempunyai
ciri pentaksiran berterusan (berasaskan sekolah) dan pentaksiran berpusat. Garis panduan pengurusan Tingkatan Enam telah
dibentuk dengan melantik GURU PENOLONG
KANAN TINGKATAN 6 (GPKT6) yang perlu
menguruskan hal-hal berkaitan Pentadbiran, Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan
Kokurikulum Tingkatan Enam di sekolah. Sehubungan itu, tugas dan peranan GPKT6 adalah sama seperti tugas
Guru-guru Penolong Kanan arus perdana ( Tingkatan 1 – 5 ).
2.0 Penyataan
Situasi.
Berhubung dengan situasi yang dialami
oleh GPKT6 di sekolah-sekolah kini, maka kami berpendapat bahawa, pihak
Kementerian Pelajaran perlu memberikan ELAUN TANGGUNGJAWAB ( ETJ ) kepada GPKT6
seperti yang terkandung dalam SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN KEMENTERIAN
PENDIDIKAN BIL. 3 TAHUN 2002. Kami di
kalangan GPKT6 bersedia mematuhi arahan yang diberikan dan melaksanakan tugas
dengan penuh tanggungjawab. Namun ada kalanya, peranan kami ini dipersendakan
oleh kalangan warga pendidik yang lain, yang rata-rata mengetahui bahawa kami,
GPKT6 adalah GPK yang tidak mendapat ETJ.
3.0 Bantahan
Terhadap Situasi Tersebut.
3.1 Mempengaruhi
Emosi dan Semangat GPKT6
Kami, ahli-ahli Majlis Perhubungan Guru-guru Penolong
Kanan Pra Universiti Daerah Muar Ledang bersepakat dan bersatu hati ingin menyatakan
pendirian kami bahawa ETJ patut diberikan kepada GPKT6 seperti yang diterima
oleh Guru-guru Penolong Kanan, Penyelia Petang
dan Guru Kanan Mata pelajaran.
Kami berkeyakinan, dengan pemberian ETJ ini akan memberikan kesan positif
kepada emosi dan semangat kami yang mahu memartabatkan Tingkatan Enam.
3.2 Tidak Menyumbang ke Arah Keberhasilan Maksima.
Kami
berpendapat, tanpa pemberian ETJ kepada GPKT6, nilai keberhasilan
dalam
melaksanakan sesuatu tugas itu tidak dapat dilakukan dengan baik. Ada kalanya,
kami perlu melaksanakan sesuatu tugas di luar waktu kerja dan hal ini
melibatkan pergerakan yang jauh dari rumah. Bebanan kerja yang kian bertambah
juga mempengaruhi kualiti kerja dan
melibatkan pengorbanan masa berkualiti terutama bersama keluarga. Pemberian ETJ
diharap akan mengurangkan bebanan kami.
4.0 Cadangan dan Tindakan
4.1 Meluluskan
Pemberian ETJ kepada GPKT6
Dengan merujuk kepada bantahan terhadap situasi tersebut,
kami berpendapat pihak Kementerian Pelajaran perlu meluluskan pemberian ETJ
kepada GPKT6. Pihak Kementerian Pelajaran juga boleh melakukan soal selidik di
kalangan GPKT6 seluruh negara untuk mendapatkan pandangan tentang isu ETJ ini
supaya kita mendapat maklumat yang cukup jelas dan kuat tentang perlunya
pemberian ETJ kepada GPKT6.
4.2 Peningkatan kos
hidup dan bebanan tugas.
Amat ketara belakangan ini, berlakunya kenaikan harga
barangan pengguna di seluruh negara. Situasi ini sedikit sebanyak mempengaruhi kami
GPKT6 yang tidak mempunyai ETJ berbanding guru-guru GPK serta GKMP yang mempunyai ETJ masing-masing. Kami
melaksanakan tugas mengikut arahan yang diberikan oleh pihak kementerian dan
jabatan sama juga seperti guru-guru GPK dan GKMP yang lain.
5.0 Penutup
Semoga
permohonan kami ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak YAB
Tan Sri, dan diharapkan Tan Sri dapat memberikan penjelasan tentang perkara ini
agar pihak kami berpuas hati dan terus bergerak ke hadapan dalam memartabatkan
kembali pendidikan Tingkatan Enam di negara kita yang tercinta ini.
Yang benar.
Tarikh : 6 Febuari 2014 (Khamis)
AMRI HJ YAHYA
GURU PENOLONG
KANAN TINGKATAN ENAM
SMK TUN MAMAT,
TANGKAK, LEDANG.
Comments