BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

04 February 2012

MARDI - TEKNOLOGI PENGHASILAN BENIH PADI BERMUTU.



Filem Masam-Masam Manis lakonan Tan Sri P. Ramlee mengingatkan kita mengenai kata-kata terakhir beliau "Kahwin Lima Tahun Anak Sepuluh, Kembar Tak Berhenti' macam padi Malinja.

Sedar atau tidak, Malinja merupakan varieti padi pertama yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) PADA 1964.

Ia diikuti Mahsuri , Ria, Bahagia, Murni, Masria Jaya dan kini sebanyak 35 varieti padi telah dihasilkan dan kali terakhir pada 2006.

Selain itu, penyelidik MARDI juga mampu menghasilkan MRQ74 atau Maswangi dan MRQ 50 (Puteri) yang sesuai ditanam dalam keadaan aerob, iaitu satu teknologi penanaman padi yang terbaru yang sedang diuji kemampuannya. .

Teknologi baru itu merujuk kepada kemampuan padi hidup pada keadaan tanah yang kandungan air tidak tepu (keadaan tanah aerobik).

Maswangi itu juga digunakan untuk penanaman secara organik yang mana beras bebas daripada bahan kimia, seperti yang dilaksanakan pada projek di Langkawi pada 2003.

Daripada penyelidikan-penyelidikan tersebut, banyak ciri penting diberi penambahbaikan terutama aspek kualiti seperti panjang biji dan kandungan amilos, umur matang, bentuk pokok selain hasil sehektar.

Ini bermakna setiap penyelidikan menghasilkan varieti padi bertujuan memperbaiki kualiti baka sedia ada .

Menurut seorang penyelidik yang terlibat dalam pembiakbakaan dan menghasilkan varieti padi, Alias Ismail, antara kriteria-kriteria penting yang diberi penambahbaikan ialah kandungan amilos.

"Kandungan amilos menentukan kelembutan atau tekstur nasi iaitu peratusan rendah bermakna nasi lembut.

"(Kaum) Cina sukakan amilos rendah, Melayu juga suka amilos antara 18 dan 23 peratus," ujarnya memberi contoh kriteria pada nasi.

Alias yang berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Pembiakbakaan Padi MARDI sejak 1976 dan antara tanggungjawab beliau ialah meninggalkan (melaksanakan) aktiviti - aktiviti pembiakbakaan padi sejak mula bertugas.

Beliau terlibat dengan sebahagian besar varieti padi yang telah diisytiharkan pada pada peringkat pemilihan, penilaian di ladang atau pun mempromosi varieti tersebut.

Varieti-varieti ini antaranya yang popular adalah Muda, Seberang, Makmur, MR 84, MR 159, MR 167, MR 185 dan MR 211.

Penyelidikan Alias bersama kumpulannya juga berjaya menghasilkan tiga varieti padi iaitu MR 219, MR 220 dan MR 232.

Ketika ini MR 219 (yang telah ditanam lebih dari 20 musim tanaman padi) dan MR 220 merupakan varieti yang paling popular di Semenanjung Malaysia.

Menurut Alias, varieti MR 219 dan MR 220 adalah varieti seketurunan yang dihasilkan melalui kacukan antara baka-baka berpotensi tempatan MR 137 dan MR 151.

Kerja-kerja mengacukkan padi dijalankan pada musim luar 1991 dan buat pertama kali pemilihan baka dilakukan di bawah sistem tabur terus.

Pemilihan, pemantapan dan penilaian baka memakan masa sekitar 10 hingga 12 tahun.

"Ia diisytiharkan pada tahun 2001 dan 2003. Sebahagian besar penilaiannya juga dilakukan di bawah sistem tabur terus.

"Ini menjadikan varieti-varieti ini sangat sesuai untuk ditanam di bawah sistem tabur terus,'' katanya.

Antara kebaikan yang terdapat pada varieti-varieti ini ialah ia mempunyai potensi hasil yang tinggi mencapai 10 tan sehektar.

Sebilangan petani yang mengamalkan sistem pengurusan tanaman yang baik telah berjaya memperolehi hasil melebihi 10 tan sehektar.

Di samping itu, ia juga berumur matang awal sekitar 105 hari lepas tabur, mempunyai mutu biji padi dan nasi yang baik setanding dengan beras super dari Thailand dan juga rintang terhadap musuh-musuh utama tanaman padi seperti hawar daun bakteria dan bena iaitu serangga kecil yang menghisap cecair dalam pokok padi.

Alias menambah, penanaman varieti-varieti berkenaan telah memberi impak yang positif ke atas purata hasil padi negara memandangkan hasil purata bagi tiga musim sebelum MR 219 diperkenalkan adalah kira-kira 3.76 tan/sehektar (tan/ha).

Hasil purata pula meningkat ke 4.15 t/ha pada musim ke 11 hingga ke 14 selepas varieti MR 219 dan MR 220 ditanam. I

Penanaman MR 219 dan MR 220 juga memberi kesan yang positif keatas pengeluaran padi negara.

Nilai sumbangan kepada industri padi negara dianggarkan RM 637 juta setahun berdasarkan purata liputan penanaman 70 peratus harga padi RM 700/tan (tanpa subsidi harga padi) dan pengeluaran tahunan padi negara sebanyak 1.3 juta tan.

Kerajaan Malaysia mensasarkan pengeluaran Benih Padi Sah sebanyak 85,000 tan setahun.

Ketika ini, pengeluaran yang tercapai adalah di sekitar 75,000 tan yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat pengeluaran benih padi yang terpilih.

MR 219 dan MR 220 adalah varieti utama yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat ini iaitu di sekitar 80 peratus.

Ini bermakna nilai industri benih yang berjaya di sumbangkan oleh varieti-varieti ini ialah sekitar 84 juta ringgit setahun.

Penanaman varieti MR 219 juga telah mencetus idea untuk pengeluaran beras mengikut varieti. Beberapa syarikat telah memulakan perusahaan ke arah ini.

Antara syarikat ini adalah Delima Mastiara Edar (Kedah) Sdn. Bhd. yang mengeluarkan beras jenama Kedah Rice yang menggunakan beras MR 219 sepenuhnya.

Penemuan kedua-dua varieti ini (MR 219 dan MR 220) juga telah berjaya mendapat beberapa anugerah dan pengiktirafan di peringkat jabatan, nasional dan antarabangsa antaranya Pingat Emas di Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi pada tahun 2003 dan 2004, 'Inpex Award of Excellence pada tahun 2003, Pingat Perak di Pameran Sains dan Inovasi di Geneva pada tahun 2005 dan akhir sekali pada tahun lalu Anugerah Inovasi Negara kategori Bioteknologi

0 comments: